Tuesday, July 3, 2012

Perantau sepi


Lewat petang itu, kaki masih melangkah ke tanah berpasir itu.
Batu tegak berdiri itu menjadi saksi kehadiran ku di sini.
Hening suasana tidak aku hiraukan.
Sejuk mencengkam erat seluruh tubuh ku abaikan.
Kaki ku melangkah mengikut arah fikiran dan hati
Untuk apa aku ke mari itu pun aku tidak pasti.
Sekadar melawat dan berziarah mereka yang berada di sana,
Mengucapkan salam yang tiada sempadan,
Mungkin Mencari sebuah ketenangan yang entah datang dari ruang mana.
Mungkin juga mengadu nasib pada jasad kaku yang telah dilitupi tanah,
Mungkin juga menghamburkan kerinduan yang tertanam di lubuk hati,
Atau merenung diri bermuhasabah
mengingatkan diri bahawa ‘rumah’ ku juga bakal berpindah ke sana,
Melihatkan tulisan di batu itu membuatkan aku sedar
bahawa suatu masa nanti nama ku juga bakal terukir di situ,
Dan bila waktu itu sampai menjemput ku,
Istana perlindungan itu juga berubah sekelip mata,
Tiada lagi lantai marmar yang bersinar melindungi kaki,
Bukan juga siling asbestos yang menghindarkan diri daripada panas terik mentari,
Basah lencun dek gerimis hujan yang menyirami alam,
Tidak juga katil yang berlapikkan tilam mewah yang menjadi alas belakang badan berlabuh,
Tiada lagi ruang- ruang kamar yang boleh dikongsikan bersama teman2lain,
Untuk disewakan juga amatlah mustahil,
Tidak ada lagi rumah yang berbeza- beza harganya,
Ruang dan saiz rumah juga sama sahaja,
Yang membezakan saiz rumah kediaman baru hanyalah jantina,
Bukan lagi nama, gelaran, pangkat dan taraf kekayaan yang menjadi ukuran tersebut,
Yang pasti lantai, dinding, atap dan siling hanyalah tanah
yang telah ditetapkan saiznya.
Segala-galanya bertukar tanpa sempat difikirkan,
Yang akan menjadi perhitungan dan persoalan adalah
Amalan harian,
Apakah cukup kebaikan yang ditaburkan dalam setiap saat nafas  hela,
Adakah pelaburan ibadat kita mampu
memberikan pulangan yang menguntungkan di hari akhirat,
dan menyejukkan diri daripada panas neraka,
Mungkinkah kerunsingan mengumpulkan dana pahala itu berbaloi buat membina jambatan ke Syurga.
Yang pasti bukit kecil dosa itu perlu ditarah sebelum ia menjadi sebuah gunung,
Gunung yang merosakkan iman dan taqwa,
Gunung yang menghalang pandangan ke Jannah.
Tinggallah sayang,
Tinggallah pangkat, darjat dan harta,
Jangan hampiri ku jika ia sekadar memberi kebinasaan padaku.
Datanglah iman,
Datanglah Taqwa,
Damping diriku menemui TUHAN ku Yang Maha Esa.


Al- fatihah buat anggota keluarga yang telah kembali bertemu DIA sang Pencipta,
Semoga syurga menjadi istana kalian.

           Dhia Iman,
Tanah kemboja sepi.
S.petani
121210 
06:30PM

1 comment:

  1. ...mintalah kepadaKu, akan Ku perkenankan pintamu... (Surah Al-Mukmin, ayat 60)

    ReplyDelete

ada orang bercahaya komen